Wednesday, April 7, 2010

KEM SOLAT MENDAPAT SAMBUTAN

DISALIN DARIPADA PORTAL RASMI KERAJAAN NEGERI KEDAH
Kem Anak Soleh dapat sambutan luar biasa

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM


BALING – Kem Anak Soleh yang julung kali dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah mendapat sambutan yang menggalakkan dari ibu bapa serta pelajar yang menjadi peserta kem tersebut. Kem tiga hari dua malam ini berlangsung di enam daerah iaitu Sik, Baling, Pokok Sena, Pendang, Bandar Bharu dan Langkawi memberi ruang kepada pelajar Tahun 5 dan 6 menyertainya, hanya mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM 10.

Dalam tinjauan wartawan Warta Darul Aman pada hari pendaftaran kem di Maktab Mahmud Baling mendapati ibu bapa amat bangga dengan penganjuran program seumpama itu bagi melahirkan pelajar celik solat serta mewujudkan anak yang soleh dan solehah.

Bagi Sakinah Abdul Rahman, 36, dari Kampung Bukit Terabak, Kupang berkata, melalui program ini, beliau dapat menghantar anaknya untuk mendekati ilmu agama terutama dalam usaha memperbetulkan solat.

“Di rumah kadang-kadang kita sibuk dengan tugasan harian tak dapat pantau sepenuhnya cara sembahyang anak-anak, melalui kem ini saya ambil peluang hantar anak untuk belajar cara-cara solat yang betul, lagipun dengan yuran RM10 kami yang berpendapatan rendah tidak teragak-agak untuk hantar anak ke kem ini,” ujar beliau yang menghantar anaknya Siti Aisyah Rizduan, pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Keda.

Menurut Rofidza Md Noh, 39, seorang guru amat berbangga dengan program ini kerana pelajar sekolah dapar didedahkan dengan cara solat yang betul, seterusnya mereka kenal Allah, agama serta hormat kedua ibu bapa.

“Dalam zaman moden ini, ada juga pendedahan agama yang perlu diberikan kepada anak-anak kita. Apabila saya dengar ada Kem Anak Soleh ini, saya terus mendaftar anak saya yang sekolah Tahun 6. Selain itu, dalam cuti sekolah ini masa mereka juga dapat diisikan dengan perkara yang berfaedah,” jelas beliau.

Atas sikap prihatin terhadap anak-anak kampung, Siti Khatijah Ahmad, 48, telah menghantar lapan anak penduduk daripada Taman Mahameru, Kota dan Taman Impian.

“Anak-anak yang saya bawa ini mereka terdiri daripada anak-anak daripada keluarga yang memerlukan, memandangkan mereka ini tiada informasi mengenai aktiviti yang bermanfaat kepada rakyat, jadi saya ambil inisiatif minta izin ibu bapa mereka untuk bawa ke kem ini, Alhamdulillah, mereka izinkan.

“Mereka ini (anak-anak kampung) pandai dalam baca Al-Quran, tetapi disebabkan kekangan hidup mereka kurang pendedahan untuk mendalami ilmu-ilmu agama, jadi saya harap harap melalui kem ini mereka dapat betulkan solat,” jelas beliau yang juga mengajar Al-Quran kepada anak-anak kampung beliau.

Manakala bagi peserta kem, Mohd Humaidi Zakiyuddin, 12, beliau gembira untuk sertai program ini kerana banyak faedah yang diperolehi.

“Saya sarankan kepada kawan-kawan di luar sana untuk sama-sama kita serta kem ini kerana banyak kebaikan yang kita dapat untuk jadi anak yang berguna serta kita juga akan dapat ramai kawan,” jelas beliau yang sedang bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Pegang.

No comments:

Post a Comment