Wednesday, July 7, 2010

Apah dah jadi dengan petroNAS oh Abe Ad

DS Anwar Ibrahim. ketua pembangkang Parlimen Malaysia
Lihat surat DSA dalam blog beliau

7hb Julai 2010

YB Tan Sri Datuk Pandikar Amin Bin Haji Mulia
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Bangunan Parlimen
50680 Kuala Lumpur

Tan Sri Yang di-Pertua,

PERKARA: USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18

Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2), dengan ini saya ingin mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Saya, Anwar Bin Ibrahim (Permatang Pauh) mohon mencadangkan:

“Bahawa Dewan Rakyat membincangkan laporan semasa prestasi kewangan dan operasi PETRONAS berikutan penurunan perolehan sebanyak 18.1% kepada RM216.4 bilion dan penurunan keuntungan sebanyak 23.2% kepada RM40.3 bilion yang mempunyai kesan yang besar kepada negara.”

Yang Di-Pertua,

Pada 1 Julai 2010 PETRONAS mengumumkan laporan prestasi kewangan dan operasinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010. Laporan tersebut menunjukkan penurunan perolehan dan keuntungan yang mempunyai kesan kepada kedudukan kewangan negara.

PETRONAS merupakan penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan kerajaan. Namun, akibat daripada kegagalan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional bagi menjana ekonomi, saban tahun PETRONAS dibebankan dengan tanggungjawab menanggung perbelanjaan boros kerajaan.

Disebalik janji kerajaan untuk mengambil langkah mengurangkan kebergantungan kepada hasil PETRONAS untuk membiayai perbelanjaan negara, kerajaan menuntut bayaran dividen dikekalkan pada RM30 bilion. Akibatnya, PETRONAS terpaksa membayar sejumlah RM70.9 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2009, sedangkan keuntungannya bagi tempoh setahun berakhir 31 Mac 2010 hanyalah RM40.3 bilion. Ini meneruskan pola pembayaran yang terlampau tinggi yang dikenakan kepada PETRONAS, sehinggakan ia terpaksa memulangkan 85.6% dari keuntungannya bagi tahun berakhir 31 Mac 2010 sebagai bayaran kepada kerajaan. Ini mempunyai kesan buruk kepada ekonomi negara dan kedudukan PETRONAS.

Pengumuman kepimpinan baru PETRONAS bahawa strategi pelaburannya akan ditukar untuk menumpukan perhatian kepada pelaburan huluan dalam negara menimbulkan banyak tanda tanya. Perkiraan mendadak untuk mengalihkan perbelanjaan kapital dan kos operasi PETRONAS ke dalam negara untuk membangunkan rezab-rezab marginal dilihat sebagai percubaan untuk merompak dana PETRONAS melalui cara baru.

Kaedah menekan PETRONAS membayar dividen yang terlampau tinggi sudah tidak memadai untuk menanggung ketamakan pihak yang berkepentingan, maka PETRONAS dipaksa mengubah strateginya agar lebih banyak projek dalam negara dilaksanakan yang memungkinkan campur tangan politik.

Mutakhir ini, ada tanda-tanda cubaan untuk menyelewengkan sumber kewangan PETRONAS. Jika selama ini rakyat terpaksa menanggung beban subsidi gas kepada penjana bebas (IPP) yang hanya menguntungkan temolok kroni sahaja, kini ada langkauan baru untuk merompak PETRONAS dengan lebih tersusun. Campur tangan dan cubaaan penyelewengan ini perlu diawasi dan ditentangi dengan sehebatnya.

Atas perkara yang tertentu ini yang melibatkan kepentingan rakyat umum yang perlu disegerakan, saya mohon usul ini dibincangkan.
.
Sekian.

Yang benar,

ANWAR BIN IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG DEWAN RAKYAT
AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH

No comments:

Post a Comment